Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Saturday, January 06, 2007

Petikan Berita Dari aljazeera.net 06 Januari 2007

Terjemahan Oleh: Tanjung Puteri

Bush, presiden Amerika, yang terdedah kepada kritikan keras kerana kegagalannya di Iraq menyegerakan pengumumam tentang rancangan barunya dengan melakukan penentuan (pemilihan) askar

Sebilangan tentera Amerika telah gugur bersama beberapa orang yang mati dan mereka yang cedera dalam satu serangan yang ditujukan kepada tentera keselamatan Amerika di selatan Fallujah, sebagaimana 19 orang Iraq telah terbunuh dalam beberapa serangan berasingan. Serangan tersebut terjadi ketika perdana menteri Iraq, Nuuri al-Maalikiy menuduh gerakan Ulamak Islam (dengan tuduhan) menggalakkan (merancakkan) ketegangan sesama jamaah.

Sekumpulan Amerika akan tiba ke kepulauan Sulawesi Indonesia hari ini untuk membantu menghadkan tempat di mana kapal terbang itu meletup pecah yang mana ia telah hilang hari Isnin lepas dengan 102 penumpang berada di atasnya. Beberapa usaha telah gagal hingga kini untuk sampai kepada saki baki bangkai pesawat yang menuju ke arah iklim Sulawesi, datang dari bahagian Timur.

Pihak berkuasa Mauritania telah mengumumkan pembukaan pintu pencalonan bagi pilihanraya Presiden yang ditetapkan pada 11 Mac akan datang, yang mana pilihanraya tersebut merupakan perhentian terakhir dan terpenting dalam silsilah demokratik perpindahan yang disertai oleh negara tersebut selepas pengguguran sistem yang digunakan oleh presiden yang lepas, Mu-'aawiyah walad al-Tooyi'

Pekin telah menuntut Tehran supaya memberikan respon positif terhadap beberapa tuntutan masyarakat dunia berkenaan program nuklearnya. Mas-uul kepada projek nuklear Iran telah menegaskan sebelum beberapa perbualannya dengan Pekin bersama Presiden China, bahawa program nuklear Tehran dikhususkan untuk tujuan-tujuan keselamatan, sepertimana diumumkan oleh Presiden Iran bahawa negaranya akan dapat menghadapi apa-apa tekanan.

Sekurang-kurangnya 48 orang telah mati manakala beribu-ribu lagi merempat (kehilangan tempat tinggal) kesan daripada beberapa kes tanah runtuh selepas berlarutan turunnya hujan lebat minggu lepas di barat Brazil. Pihak berkuasa Brazil berkata, kebanyakan kematian berlaku di daerah Rio De Janero.

Saturday, December 30, 2006

Perutusan Aidiladha Presiden PAS

Tajdid

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Aidiladha kepada seluruh umat Islam supaya kita menghidupkan hari yang mulia ini dengan membangkitkan semula semangat, bersedia untuk berkorban segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim a.s. yang menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak suka kepada ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Tuhan memilihnya di dunia ini (menjadi nabi dan rasul) dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang salih (yang mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah). Ingatlah apabila Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Serahlah diri kamu (yakni Islam), Ibrahim menjawab: Saya Islam, menyerah diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub (memberi wasiat yang sama): Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah memilih kamu satu agama iaitulah agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam yang sebenar." (Surah al-Baqarah: 130-132)

Apakah Islam yang sebenar yang dianut oleh Nabi Ibrahim a.s.? Iaitulah Islam yang berasaskan akidah tauhid, mengesakan Allah pada zat-Nya, sifat-Nya, hukum syariat-Nya dan segala perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dan menolak sebarang bentuk syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain pada perkara-perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dalam perkara ibadat, termasuk juga dalam perkara cara hidup yang diwajibkan mengabdikan diri kepada syariat Allah SWT sama ada cara ibadat, sunat, wajib, diri dan harta benda termasuklah juga cara hidup yang berkait dengan individu, yang berkait dengan makanan, pakaian, pergaulan.

Cara hidup yang berkait dengan keluarga, masyarakat dan negara, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain mestilah berlandaskan syariat Allah SWT, tidak melakukan syirik dengan menerima cara hidup berlandaskan syariat dan hukum- hakam ciptaan manusia yang dinamakan ideologi, teori dan sebagainya kerana Allah SWT meluaskan perkara ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "Adakah mereka itu mempunyai sekutu-sekutu yang lain daripada Allah Taala yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah Taala." (Surah asy-Syura: 21)

Dalam perkara tauhid, menentang syirik ini, kita memerlukan islah dan tajdid, memerlukan pembaharuan kerana berlakunya perubahan masa dan keadaan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Perbaharulah iman kamu. Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah kami memperbaharukan iman kami? Sabda Rasulullah s.a.w.: Perbaharulah iman kamu dengan lailahaillallah."

Dengan makna menegakkan tauhid dalam semua perkara, dalam ibadat dan seluruh cara hidup yang luas sebagaimana yang disebutkan tadi, mestilah berlandaskan kepada ajaran Allah SWT dan menolak segala bentuk syirik, yang lain daripada Allah SWT. Di mana kefahaman tauhid dan menolak syirik memerlukan pembaharuan. Pembaharuan supaya umat Islam sentiasa memahami bagaimana Islam adalah sesuai di sepanjang zaman. Islam boleh menghadapi perubahan masa dan tempat yang berlaku sepanjang kehidupan manusia.

Di sana ada perkara yang qat’iyat dan disebut dengan sawabit, yang tetap yang tidak berubah dalam perkara rukun- rukun ini, dalam perkara prinsip akidah, dalam perkara halal dan haram, dalam perkara yang diputuskan yang tidak berubah dalam kehidupan manusia. Dan di sana ada perkara yang disebut dengan mutaghayirat, yang berubah mengikut keadaan dan masa seperti cara bermesyuarat, cara mempertahankan umat dan negara, cara memberi penyampaian dan kefahaman kepada manusia di mana cara ini berlaku perubahan dalam kehidupan manusia. Agama membenarkan kita melakukan perubahan.

Apa yang menjadi masalah pada hari ini berlakunya syirik, menyengutukan Allah dalam perkara yang terang-terang dan nyata, yang dinaskan oleh Allah, mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah dan hilangnya semangat keyakinan kepada Allah SWT sehingga menjadi pergantungan kepada wang ringgit, harta benda, pangkat dan kedudukan, mengatasi keyakinan kepada Allah Taala.

Maka di sini menunjukkan adanya berhala baru yang dipuja oleh manusia di zaman kini iaitulah wang ringgit, bantuan kewangan dengan berbagai-bagai nama yang boleh merosakkan iman dan keyakinan seseorang kepada syariat Allah SWT, sanggup meninggalkan syariat kerana mengejar kewangan, kemewahan dan kesenangan dunia.

Kita perlu menyedari musuh-musuh Islam membiayai penentangan terhadap Islam melalui kewangan, melalui Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan berbagai-bagai agensi, gerakan-gerakan zionis antarabangsa yang menyumbang kewangan bagi menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad sama ada meninggalkan agama secara total ataupun meninggalkan syariat Allah secara sedikit demi sedikit, sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Kamu akan terikut-ikut dengan perjalanan ajaran orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedikit demi sedikit sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu akan ikut masuk sama. Lalu para sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w.: Maka siapakah?"

Inilah kefahaman yang perlu disampaikan kepada umat Islam terutama pada hari raya yang mulia, ketika kita menghadapi tokoh nabi-nabi dan rasul-rasul, Nabi Ibrahim a.s. yang menentang syirik dan menegakkan tauhid di mana seluruh umat Islam merayakan hari ini di samping jemaah haji yang berhimpun di Mekah.

Sebaik sahaja mereka memakai ihram, mereka bertalbiah menyahut seruan Allah yang bermaksud: "Ya wahai Tuhan, ya wahai Tuhan, tiada sekutu bagi-Mu. Ya wahai Tuhanku, sesungguhnya segala kepujian, segala nikmat menjadi milik-Mu, begitu juga pemerintahan menjadi milik-Mu, ya wahai Tuhan."

Mudah-mudahan dengan sepatah dua ucapan memberi pengajaran kepada kita.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Saturday, December 02, 2006

Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin" Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya.

Dia sangatyakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa,padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.

Wednesday, November 08, 2006

Indeks rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Bertentangan dengan dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mula-mula berkuasa, kononnya hendak memerangi rasuah, indeks rasuah negara ini terus merudum, kali ini menggelungsur ke tangga 44 daripada 163 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International yang diumumkan semalam.

Kedudukan Malaysia tahun lalu ialah pada tangga ke 39 dari 158 negara. Malaysia hanya mendapat lima mata sahaja dari 10 mata maksimum tahun ini, dari 5.1 mata tahun lalu.

Kedudukan negara pada tahun 2004 juga pada tangga ke 39, merudum dari tangga ke 37 tahun 2003.

Kelembapan pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan disebut sebagai satu daripada sebab bagi Malaysia menurun lima anak tangga.

"Sebahagian daripada masalah itu ialah jarak masa antara penggubalan dasar baru dan pelaksanaan sebenar dasar berkenaan. Jurang itu perlu dihapuskan," kata Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V. Navaratnam pada pelancaran Global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia.

Beliau turut menyebut "kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun" sebagai penyumbang kepada masalah itu.

Sebab lain yang menyuburkan rasuah, katanya, ialah budaya "senyap" di Malaysia, apabila pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes itu.

Navaratnam berkata beliau terperanjat dan berasa kecewa dengan ranking Malaysia yang semakin lemah, memandangkan banyak inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk memerangi rasuah dan mempertingkatkan ketelusan dalam sistem penyampaian awam, misalnya penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia.

"TI Malaysia menyeru kerajaan bertindak dengan lebih tegas tanpa takut dan tidak berpihak ke atas sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa dan melakukan amalan rasuah. Seharusnya ada kekuatan politik di kalangan para pemimpin. Mereka seharusnya menyatakan "cukuplah" dan benar-benar bermaksud demikian," katanya.

Rasuah, katanya, menghalang sesebuah negara mencapai potensi sepenuhnya dan menghalang pertumbuhan serta pembahagian pendapatan dan kekayaan yang saksama.

Navaratnam menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz yang mendakwa ahli-ahli Umno kebal dari undang-undang rasuah.

"Tidak ada sesiapa pun yang seharusnya mengatasi undang-undang. Ahli politik, TI, sesiapa sahaja. Selagi kita boleh membuktikannya (berlakunya rasuah), tidak ada sesiapa pun yang kebal dari undang-undang," tegas beliau.

Jika ada undang-undang yang mengecualikan ahli-ahli parti politik, ia sepatutnya didedahkan kepada umum, kata beliau.

Nazri minggu lalu mendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak ada kuasa untuk menyiasat laporan politik wang di dalam Umno.

Timbalan Pengarah BPR, Zakaria Jaffar, yang turut hadir dalam pengumuman indeks rasuah itu enggan mengulas kenyataan Nazri.

Negara yang merosot dengan ketara dalam ranking itu termasuk Brazil yang jatuh lapan tempat kepada kedudukan ke-70, Israel yang menurun enam tempat kepada 34 dan Amerika Syarikat yang merosot tiga tempat kepada 20.

Negara yang mencatatkan peningkatan termasuk India yang naik 18 tempat kepada 70, Jepun (beralih empat tempat kepada 17) dan Turki (meningkat lima tempat kepada 60).

Finland, Iceland dan New Zealand berkongsi tempat teratas dengan 9.6 mata manakala Denmarkdi tempat keempat diikuti Singapura, Sweden, Switzerland dan Norway.

Indeks itu, yang meletakkan ranking negara dari segi tahap di mana rasuah dianggap sebagai wujud di kalangan pegawai awam dan ahli politik, menggambarkan pandangan dari seluruh dunia.

CPI 2006 adalah indeks komposit yang dirumuskan berdasarkan pelbagai pendapat pakar yang mengumpul persepsi rasuah sektor awam di 163 negara di seluruh dunia. Ia memberikan mata kepada negara berdasarkan skala dari 0 hingga 10, dengan 0 menunjukkan tahap tinggi persepsi rasuah manakala 10 pula menunjukkan tahap rendah persepsi rasuah.

CPI mengumpul data daripada sumber yang merangkumi tempoh dua tahun lepas. CPI tahun ini memasukkan kajiselidik dari 2005 dan 2006.

Penilaian mengenai tahap rasuah di sesebuah negara dilakukan oleh pakar negara, penduduk dan bukan penduduk serta pemimpin perniagaan pemastautin yang menilai negara mereka sendiri.

Tuesday, October 03, 2006

RAMADHAN: BULAN MUHASABAH DIRI

Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).

Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.

Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.

Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali.

Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.

Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.

Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah.

Di cilokz dari laman ini

Wednesday, July 05, 2006

Peranan Mahasiswa Islam Perlu Diperkasakan

Oleh Mohd Nazree Mohd Yunus

Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil yang cukup lumayan bagi sesebuah negara pada masa depan.

Mahasiswa dilihat pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Sebagai anak muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa akan membentuk keperibadian mahasiswa yang menongkah arus dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengubah sistem yang bobrak dan korup.

Mahasiswa pengubah sistem. Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan mereka dan khayalan ini akan disedarkan selepas mereka keluar dari alam kampus.

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah wadah pinggiran dalam perjuangan sosial, politik dan dakwah seantero dunia. Di Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang Mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969.

Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia telah menakutkan pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan golongan nasionalis di Universiti Fuad I.

Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis berputik pada awal tahun 1970an tetapi mula mengancam survival politik golongan nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus di hampir setiap universiti di Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai formula, GMI di Malaysia terus meredah ranjau perjuangan semampu yang terdaya.

Di sini, penulis menukilkan sejarah awal perjuangan mahasiswa Islamis di kampus untuk memasyarakatkan masyarakat kampus dengan suluhan Islam. Penulis juga memaparkan pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan dinasti kepimpinan ulama dalam politik kampus.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun 1963.

Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi dan tidak bernaung dibawah PMUM. Justeru, ia bergerak bebas tanpa terikat dengan dasar PMUM yang dikuasai oleh mahasiswa sosialis.

Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis dalam beberapa perdebatan ilmiah.

Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar Islamis dimana setelah kuliah ramai pelajar Islamis berkumpul di pejabat atau rumah beliau. Beliau juga merupakan antara tokoh utama mempengaruhi ABIM-PKPIM dan tokoh lagenda gerakan mahasiswa-belia, Anwar Ibrahim. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan dengan kaedah yang teratur dan diakui mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus terulung negara, Universiti Malaya. Pada 27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963.

Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap institusi pendidikan tetapi peranan ini mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan persatuan berbentuk gabungan nasional dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan mahasiswa perlu berada dibawah kawalan universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar [HEP].

PKPIM bernasib baik diberi peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan gabungan peringkat nasional seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke 10 pada tahun 1971.

Peningkatan kesedaran Islam pada awal tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis semasa zaman keagungan gerakan mahasiswa pada awal dan pertengahan tahun 1970an. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan kemiskinan.

Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis semangat nasionalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut perspektif Islam. Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta mengamalkan amal Islami secara bersungguh-sungguh.

Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria. Galangan bersifat anti-maksiat ini mengakibatkan PMIUM ditohmah dengan pelbagai gelaran termasuk fanatik, antisosial, perkauman, jumud dan taklid buta.

Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih progresif untuk mengambil alih tampuk pimpinan PMUM.

Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat ABIM], Syed Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin Abdullah. Namun, hanya Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah yang berjaya memenangi kerusi MPP.

Konklusinya, jelaslah bahawa wadah gerakan mahasiswa Islam yang mampu mengepalai pembinaan generasi kepimpinan mahasiswa dan pemimpin masa depan negara yang berpotensi. Karismatik pemimpin mahasiswa Islam wajar digilap dan diberi ruang oleh kerajaan untuk terlibat sama dalam arus perdana perbincangan wawasan pembangunan negara.

Pak lah sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk merealisasikan gagasan Islam Hadhari beliau. Peranan mahasiswa Islam perlu meliputi aspek berkaitan soal pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat negara. Mahasiswa Islam wajib tangani permasalah yang berlaku dalam ketiga-tiga aspek itu tadi.

MOHD NAZREE BIN MOHD YUNUS
Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya

Thursday, June 01, 2006

Menteri Belia, Khairy, TV3 Dan Nilai Patriotisme

Oleh Ab Jalil Backer | jalil74@myjaring.net

Apa yang berlaku pada 28 Mei 2006 akan meninggalkan satu kesan hitam dalam sejarah bola sepak dan sukan negara keseluruhannya. Daripada puluhan ribu penyokong yang mengejek anak-anak muda negara berusia 19 tahun yang menyarung jersi negara sehinggalah kepada Menteri Belia dan Sukan yang memilih untuk memakai baju biru (warna pasukan myteam), semuanya tampak cacat, sumbang dan mengelirukan.

Mungkin sebahagian orang Malaysia sudah hilang akal budi, jati diri dan patriotisme.

Apa salah anak muda berusia sekitar 19 tahun sehinggakan diejek sebegitu rupa bila menentang pasukan yang lebih matang seperti Myteam? Apa dosa anak-anak muda yang menyarung jersi kuning kebanggaan negara sehingga Menteri Belia dan Sukan pun tidak sanggup menggunakan warna rasmi pasukan negara yang beliau sendiri ketengahkan sebelum ini?

Sepanjang dua tahun ini, berapa kali kita dapat menonton siaran langsung mahupun rakaman membabitkan skuad negara? Peminat pernah mengeluh dan kecewa bila perlawanan-perlawanan penting Malaysia di luar negara bukan sahaja tidak disiarkan secara langsung malah liputan pun jarang diikuti dengan tayangan perlawanan.

Milik menantu PM

Anehnya, satu perlawanan persahabatan pasukan negara membabitkan sebuah pasukan amatur milik menantu Perdana Menteri bukan sahaja disiarkan secara langsung malah diberi publisiti lebih meluas berbanding liputan Liga Malaysia sendiri.

Sesiapa yang menyaksikan perlawanan tersebut di rumah akan melihat bagaimana anak-anak muda Malaysia yang masih keletihan kerana baru pulang dari perlawanan persahabatan di Eropah turun bermain untuk memenuhi jadual yang sedia ada.

Mereka menguasai perlawanan, bermain dengan sistematik walaupun keletihan tetapi diejek oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang hadir di stadium pada malam tersebut.

Yang hadir mungkin tidak dapat melihat keseluruhan perlawanan secara jelas berbanding di TV. Di TV jelas kelihatan Myteam bukanlah tandingan skuad bawah 20 tahun negara, apatah lagi jika mahu mencabar skuad negara sebenar.

Soalnya ini satu perlawanan persahabatan yang membabitkan pasukan negara dengan pasukan menantu Perdana Menteri. Mengapa harus diejek mana-mana pasukan?

Mengapakah Khairy Jamaludin sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dan Ahli Bebas Majlis Kerja FAM hanya terlonjak, terkinja-kinja dan berlari apabila Myteam menjaringkan gol tetapi mendiamkan diri bila pasukan Malaysia menjaringkan gol?

Apakah hanya myTeam yang mendapat tempat di hati Khairy? Jika demikian layakkah beliau menduduki Majlis Kerja FAM? Selebihnya layakkah beliau menjadi Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia jika mementingkan perniagaan berbanding negara?

Hakikatnya, Myteam hanya mampu seri 0-0 dengan pasukan Academy Manchester United, tetapi pasukan bawah 20 negara membelasah pasukan yang sama 4-1. Myteam juga dibelasah oleh Kedah, Melaka dan Johor.

Sedang pasukan bawah 20 Malaysia mengalahkan Salford FA academy 3-0, mengalahkan Stoke City academy 2-0. Selain itu dalam 6 perlawanan di Eropah sepanjang tiga minggu lalu menyaksikan mereka menumpaskan pasukan bawah 20 kelab utama Slovakia, Spartak Trnava, 3-0, tumpas 3-4 kepada pasukan divisyen 1 Slovakia, Zapado Slovensky FC, dan tewas 0-4 kepada pasukan bawah 21 Slovakia.

Sikap kurang ajar Khairy

Setelah begitu banyak perlawanan dan jauh perjalanan yang diharungi selama tiga minggu lalu adakah kita berharap skuad negara bawah 20 ini mempamerkan satu permainan yang cukup bermutu pada malam 28 Mei?

Hakikat yang lebih mendalam ialah MYteam yang kononnya dipilih melalui satu saringan yang ketat dan membabitkan 17 ribu peserta dan matang dari segi pemikiran gagal menyaingi pasukan anak muda yang rata-rata berusia 19 tahun.

Mengapa tiada siapa yang mempersoalkan sikap kurang ajar Khairy Jamaludin sehingga memaksa FAM memanggil kembali 3 pemain skuad kebangsaan yang berlatih di Singapura untuk turut sama dalam program ini?

Jika skuad budak-budak bawah 20 pun Myteam tidak mampu tewaskan, apa relevannya mereka mendesak untuk menentang skuad senior?

Namun episod lebih malang ialah sikap TV3 yang terlebih sudu dari kuah. Ulasan hari ini yang mempersoalkan kemampuan pasukan bawah 20 negara berdasarkan permainan semalam semata jelas mencerminkan sikap sebenar stesen TV yang diketuai oleh bekas Setiausaha Akhbar Pak Lah ini.

Ini pasukan negara bawah 20 tahun yang layak secara merit ke Pusingan Akhir Piala Asia Bawah 20 Tahun yang akan berlangsung di India hujung tahun ini. Apakah ini bukan bukti kemampuan mereka?

Tapi TV3 bukan sahaja menjadi tidak rasional malah meruntuhkan moral para pemain negara yang berjuang bersungguh-sungguh mengambalikan maruah bola sepak negara. Apakah bagi TV3 perlawanan menentang Myteam lebih penting daripada prestasi pasukan bawah 20 ini yang layak ke pusingan akhir Piala Asia?

Sampai bila kumpulan Media Prima dijadikan alat kepada Khairy Jamaludin untuk memusnahkan musuh politik beliau dan juga digunakan sebagai pentas mempopularkan diri sehingga mengorbankan agenda negara yang lebih besar?

Apakah perasaan anak-anak muda yang menyarung jersi negara bila mereka dicemuh dan dihina oleh rakyat tanah air sendiri? Apakah erti perjuangan bagi mereka Jika Menteri Belia dan Sukan pun memilih warna biru berbanding kuning - warna rasmi skuad negara?

Apa yang tinggal dalam episod ini hanyalah satu titik hitam yang tidak mungkin terpadam buat beberapa lama hanya kerana dua orang manusia ingin membuat duit dan mencari populariti - Khairy Jamaluddin dan Jason Lo. - www.kmu.net.my