Saturday, December 30, 2006

Perutusan Aidiladha Presiden PAS

Tajdid

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Aidiladha kepada seluruh umat Islam supaya kita menghidupkan hari yang mulia ini dengan membangkitkan semula semangat, bersedia untuk berkorban segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim a.s. yang menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak suka kepada ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Tuhan memilihnya di dunia ini (menjadi nabi dan rasul) dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang salih (yang mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah). Ingatlah apabila Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Serahlah diri kamu (yakni Islam), Ibrahim menjawab: Saya Islam, menyerah diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub (memberi wasiat yang sama): Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah memilih kamu satu agama iaitulah agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam yang sebenar." (Surah al-Baqarah: 130-132)

Apakah Islam yang sebenar yang dianut oleh Nabi Ibrahim a.s.? Iaitulah Islam yang berasaskan akidah tauhid, mengesakan Allah pada zat-Nya, sifat-Nya, hukum syariat-Nya dan segala perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dan menolak sebarang bentuk syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain pada perkara-perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dalam perkara ibadat, termasuk juga dalam perkara cara hidup yang diwajibkan mengabdikan diri kepada syariat Allah SWT sama ada cara ibadat, sunat, wajib, diri dan harta benda termasuklah juga cara hidup yang berkait dengan individu, yang berkait dengan makanan, pakaian, pergaulan.

Cara hidup yang berkait dengan keluarga, masyarakat dan negara, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain mestilah berlandaskan syariat Allah SWT, tidak melakukan syirik dengan menerima cara hidup berlandaskan syariat dan hukum- hakam ciptaan manusia yang dinamakan ideologi, teori dan sebagainya kerana Allah SWT meluaskan perkara ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "Adakah mereka itu mempunyai sekutu-sekutu yang lain daripada Allah Taala yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah Taala." (Surah asy-Syura: 21)

Dalam perkara tauhid, menentang syirik ini, kita memerlukan islah dan tajdid, memerlukan pembaharuan kerana berlakunya perubahan masa dan keadaan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Perbaharulah iman kamu. Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah kami memperbaharukan iman kami? Sabda Rasulullah s.a.w.: Perbaharulah iman kamu dengan lailahaillallah."

Dengan makna menegakkan tauhid dalam semua perkara, dalam ibadat dan seluruh cara hidup yang luas sebagaimana yang disebutkan tadi, mestilah berlandaskan kepada ajaran Allah SWT dan menolak segala bentuk syirik, yang lain daripada Allah SWT. Di mana kefahaman tauhid dan menolak syirik memerlukan pembaharuan. Pembaharuan supaya umat Islam sentiasa memahami bagaimana Islam adalah sesuai di sepanjang zaman. Islam boleh menghadapi perubahan masa dan tempat yang berlaku sepanjang kehidupan manusia.

Di sana ada perkara yang qat’iyat dan disebut dengan sawabit, yang tetap yang tidak berubah dalam perkara rukun- rukun ini, dalam perkara prinsip akidah, dalam perkara halal dan haram, dalam perkara yang diputuskan yang tidak berubah dalam kehidupan manusia. Dan di sana ada perkara yang disebut dengan mutaghayirat, yang berubah mengikut keadaan dan masa seperti cara bermesyuarat, cara mempertahankan umat dan negara, cara memberi penyampaian dan kefahaman kepada manusia di mana cara ini berlaku perubahan dalam kehidupan manusia. Agama membenarkan kita melakukan perubahan.

Apa yang menjadi masalah pada hari ini berlakunya syirik, menyengutukan Allah dalam perkara yang terang-terang dan nyata, yang dinaskan oleh Allah, mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah dan hilangnya semangat keyakinan kepada Allah SWT sehingga menjadi pergantungan kepada wang ringgit, harta benda, pangkat dan kedudukan, mengatasi keyakinan kepada Allah Taala.

Maka di sini menunjukkan adanya berhala baru yang dipuja oleh manusia di zaman kini iaitulah wang ringgit, bantuan kewangan dengan berbagai-bagai nama yang boleh merosakkan iman dan keyakinan seseorang kepada syariat Allah SWT, sanggup meninggalkan syariat kerana mengejar kewangan, kemewahan dan kesenangan dunia.

Kita perlu menyedari musuh-musuh Islam membiayai penentangan terhadap Islam melalui kewangan, melalui Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan berbagai-bagai agensi, gerakan-gerakan zionis antarabangsa yang menyumbang kewangan bagi menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad sama ada meninggalkan agama secara total ataupun meninggalkan syariat Allah secara sedikit demi sedikit, sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Kamu akan terikut-ikut dengan perjalanan ajaran orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedikit demi sedikit sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu akan ikut masuk sama. Lalu para sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w.: Maka siapakah?"

Inilah kefahaman yang perlu disampaikan kepada umat Islam terutama pada hari raya yang mulia, ketika kita menghadapi tokoh nabi-nabi dan rasul-rasul, Nabi Ibrahim a.s. yang menentang syirik dan menegakkan tauhid di mana seluruh umat Islam merayakan hari ini di samping jemaah haji yang berhimpun di Mekah.

Sebaik sahaja mereka memakai ihram, mereka bertalbiah menyahut seruan Allah yang bermaksud: "Ya wahai Tuhan, ya wahai Tuhan, tiada sekutu bagi-Mu. Ya wahai Tuhanku, sesungguhnya segala kepujian, segala nikmat menjadi milik-Mu, begitu juga pemerintahan menjadi milik-Mu, ya wahai Tuhan."

Mudah-mudahan dengan sepatah dua ucapan memberi pengajaran kepada kita.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Saturday, December 02, 2006

Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin" Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya.

Dia sangatyakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa,padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan.