Wednesday, November 08, 2006

Indeks rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Bertentangan dengan dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mula-mula berkuasa, kononnya hendak memerangi rasuah, indeks rasuah negara ini terus merudum, kali ini menggelungsur ke tangga 44 daripada 163 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International yang diumumkan semalam.

Kedudukan Malaysia tahun lalu ialah pada tangga ke 39 dari 158 negara. Malaysia hanya mendapat lima mata sahaja dari 10 mata maksimum tahun ini, dari 5.1 mata tahun lalu.

Kedudukan negara pada tahun 2004 juga pada tangga ke 39, merudum dari tangga ke 37 tahun 2003.

Kelembapan pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan disebut sebagai satu daripada sebab bagi Malaysia menurun lima anak tangga.

"Sebahagian daripada masalah itu ialah jarak masa antara penggubalan dasar baru dan pelaksanaan sebenar dasar berkenaan. Jurang itu perlu dihapuskan," kata Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V. Navaratnam pada pelancaran Global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia.

Beliau turut menyebut "kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun" sebagai penyumbang kepada masalah itu.

Sebab lain yang menyuburkan rasuah, katanya, ialah budaya "senyap" di Malaysia, apabila pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes itu.

Navaratnam berkata beliau terperanjat dan berasa kecewa dengan ranking Malaysia yang semakin lemah, memandangkan banyak inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk memerangi rasuah dan mempertingkatkan ketelusan dalam sistem penyampaian awam, misalnya penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia.

"TI Malaysia menyeru kerajaan bertindak dengan lebih tegas tanpa takut dan tidak berpihak ke atas sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa dan melakukan amalan rasuah. Seharusnya ada kekuatan politik di kalangan para pemimpin. Mereka seharusnya menyatakan "cukuplah" dan benar-benar bermaksud demikian," katanya.

Rasuah, katanya, menghalang sesebuah negara mencapai potensi sepenuhnya dan menghalang pertumbuhan serta pembahagian pendapatan dan kekayaan yang saksama.

Navaratnam menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz yang mendakwa ahli-ahli Umno kebal dari undang-undang rasuah.

"Tidak ada sesiapa pun yang seharusnya mengatasi undang-undang. Ahli politik, TI, sesiapa sahaja. Selagi kita boleh membuktikannya (berlakunya rasuah), tidak ada sesiapa pun yang kebal dari undang-undang," tegas beliau.

Jika ada undang-undang yang mengecualikan ahli-ahli parti politik, ia sepatutnya didedahkan kepada umum, kata beliau.

Nazri minggu lalu mendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak ada kuasa untuk menyiasat laporan politik wang di dalam Umno.

Timbalan Pengarah BPR, Zakaria Jaffar, yang turut hadir dalam pengumuman indeks rasuah itu enggan mengulas kenyataan Nazri.

Negara yang merosot dengan ketara dalam ranking itu termasuk Brazil yang jatuh lapan tempat kepada kedudukan ke-70, Israel yang menurun enam tempat kepada 34 dan Amerika Syarikat yang merosot tiga tempat kepada 20.

Negara yang mencatatkan peningkatan termasuk India yang naik 18 tempat kepada 70, Jepun (beralih empat tempat kepada 17) dan Turki (meningkat lima tempat kepada 60).

Finland, Iceland dan New Zealand berkongsi tempat teratas dengan 9.6 mata manakala Denmarkdi tempat keempat diikuti Singapura, Sweden, Switzerland dan Norway.

Indeks itu, yang meletakkan ranking negara dari segi tahap di mana rasuah dianggap sebagai wujud di kalangan pegawai awam dan ahli politik, menggambarkan pandangan dari seluruh dunia.

CPI 2006 adalah indeks komposit yang dirumuskan berdasarkan pelbagai pendapat pakar yang mengumpul persepsi rasuah sektor awam di 163 negara di seluruh dunia. Ia memberikan mata kepada negara berdasarkan skala dari 0 hingga 10, dengan 0 menunjukkan tahap tinggi persepsi rasuah manakala 10 pula menunjukkan tahap rendah persepsi rasuah.

CPI mengumpul data daripada sumber yang merangkumi tempoh dua tahun lepas. CPI tahun ini memasukkan kajiselidik dari 2005 dan 2006.

Penilaian mengenai tahap rasuah di sesebuah negara dilakukan oleh pakar negara, penduduk dan bukan penduduk serta pemimpin perniagaan pemastautin yang menilai negara mereka sendiri.

No comments: