Wednesday, March 29, 2006

Bidah

Assalamualaikum.

Bismillah..............

Saya amat bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh saudara Amrizal berkaitan dengan memerangi bidah. Perkara-perkara bidah dan suatu yang direka dalam agama amatlah dicela sepertimana penyataan hadis di atas. Apa jua amalan yang tiada nas dan dalilnya, haruslah ditolak dan diperangi. Tetapi, bagi pandangan saya, sebelum kita menolak dan memerangi perkara bidah dan benda-benda yang direka dalam agama ini, perlulah kita memahami dan menguasai erti, konsep dan makna bidah secara jelas, kolektif dan hakikatnya. Kerana sekiranya ia tidak dikuasai dengan baik, takut-takut kita menghukum, menolak dan memerangi perkara yang bukan bidah. Sebelum saya meneruskan, ingin saya menerangkan perkataan Nabi dalam hadis di atas.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Sebaik-baik perkara adalah Kitab Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah yang direka-reka (bidah), dan setiap bidah adalah dholalah (sesat)."

(H.R Muslim bil 867, pada bab meringankan sembahyang dan khutbah dalam bab Solat Jumaat)

Dalam kitab Sohih Muslim dengan Syarah Imam Nawawi pada juruk ke-6 M/S 166 cetakan Muassasatul Mukhtar, Kaherah, Imam Nawawi menerangkan maksud perkataan 'setiap bidah'. sebagaimana berikut:
"Perkataan 'setiap bidah' diperkuatkan dengan kata 'setiap' tetapi dimasukkan di dalamnya pengkhususan."

Maksudnya: Perkataan setiap di dalam hadis tersebut, bukanlah beerti semua sekali kerana lafaz ini adalah lafaz umum dan ada pengkhususannya seperti ayat 25 dalam surah al-Ahqaf.

Maksud firman Allah: "Kami menghancurkan setiap sesuatu..."
Dalam tafsir Munir karangan Prof Dr Wahbah Zuhaili menerangkan perkataan 'setiap suatu' beerti setiap suatu daripada jiwa dan harta.
Ini jelas menunjukkan bahawa kata 'setiap' bukan beerti semua sekali. Ia umum dan ada pengkhususannya.

Seterusnya hadis Nabi yang bermaksud: "Siapa yang mereka-reka (mencipta) dalam perkara kami ini (dalam agama Islam) yang bukan daripadanya (bukan dari ajaran Islam), maka ia tertolak. (H.R Muslim)

Dalam kitab Sorihul Bayan karangan Syeikh al-Harari dalam bab Bayan Anwa'ul Bidah M/S 267 cetakan darul Masyari' menerangkan maksud kata 'bukan daripadanya' seperti berikut:
"Sesungguhnya orang yang mereka-reka itu ditolak apabila apa yang direka itu bersalahan dan tidak bertepatan dengan syarak dan sekiranya ia bertepatan dengan syarak maka, tidaklah perkara tersebut tertolak. Berdasarkan dalil tersebut:-

1. Maksud firman Allah: "Dan adakan kasih sayang dalam hati orang-orang yang mengikutnya. Dan mereka mengadakan rahbaniyah (tiada beristeri dan mengasingkan diri), Kami tiada memerintahkaa kepada mereka, tetapi (mereka perbuat), kerana menuntut keredaan Allah.... (al-Hadid: 27)
Ayat ini memberi keterangan berkaitan bidah hasanah. Jelasnya Allah memuji mereka yang telah melakukan rahbaniah (tidak beristeri dan mengasingkan diri) sedangkn Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memerintahkan yang demikian. Dan jelas di sini betapa amalan amalan bidah, tetapi Allah tidak melarangnya. Bahkan diberikan pula pahala di sisi Allah.

2. Maksud hadis Nabi s.a.w:
Daripada Jarir bin Abdullah telah berkata: "Telah bersabda Nabi s.a.w siapa yang meletakkan di dalam Islam satu sunnah kebaikan, maka baginya ganjaran dan ganjaran siapa yang mengamalkannya selepasnya tanpa ada dikurangkan daripada pahala-pahala mereka sedikit pun dan baragsiapa yang meletakkan dalam Islam satu sunnah kejahatan, maka baginya dosa dan dosa siapa yang melakukan selepasnya tanpa ada dikurangkan dosa-dosa mereka sedikit pun. (H.R Muslim pada tajuk galakan bersedekah dalam bab zakat)
Dalam membahaskan hadis ini, Dr Abdullah Kamil dalam kitab kecilnya Kalimatul Hadiah fil Bidah menerangkan bahawa bidah itu terbahagi kepada dua. Hasanah dan Sai'yiah.

3. Maksud hadis Nabi s.a.w:
Daripada Rifa'ah bin Rafi' al-Zuraqi berkata: " Satu hari kami sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w mengangkat kepala Baginda selepas rukuk pada salah satu rakaat, berkata seorang lelaki: "Sami'Allah hu liman hamidah" maka berkata lelaki di belakangnya: "Rabbana lakal hamdu kathiran toiyiban mubarokan fih." Maka ketika mana selesai solat Nabi bertanya: "Siapa yang berkata demikian" berkata seorang lelaki: "Saya." bersabda Nabi s.a.w: "Aku melihat 30 para malaikat berlumba-lumba dikalangan mereka siapakah yang akan menulisnya dahulu" (H.R Bukhari pada bab klebihan siapa yang bangun malam dalam bab solat terawih)
Berkata Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari pada syarah hadis ini:
"Hadis ini menunjukkan bahawa harusnya mengada-adakan zikir dalam solat yang mana zikir tersebut bukanlah ma'thur daripada Nabi s.a.w selagi mana ia tidak bertentangan dengan apa yang datang dari Nabi s.a.w.

Daripada Hadis di atas, terang lagi bersuluh menunjukkan kepada kita bahawa bidah itu ruangnya amatlah luas dan bukanlah semua bidah itu dolalah (sesat). Sepertimana dalam hadis yang ke-3 di atas betapa sahabat Nabi s.a.w di dalam solatnya telah menambah zikir atau dalam bahasa mudahnya telah memperbuat bidah. Sedangkan tiada perintah dari Nabi berbuat demikian. Kita lihat bagaimana reaksi Nabi s.a.w dengan mengatakan bahawa sekumpulan 30 para malaikat berlumba-lumba menulis pahala mereka. Dan kita lihat secara jelas dan terang bagaimana Nabi s.a.w tidak pun mengatakan sahabat melakukan bidah dan mereka sesat. Bahkan Rasul s.a.w mengkhabarkan berita gembira pada mereka yang berbuat demikian.

Sekadar tambahan beberapa perkara. Tuntasnya sebagai satu deduksi; kita telah lihat perbahasan sebelum ini berkaitan makna bidah. Kita melihat bagaimana Dr Yusof Qardhawi mengatakan tiada pembahagian bidah hasanah mahupun saiyiah dengan dalil-dalil yang tertentu. Dan kita lihat juga bagaimana pandangan ulama yang mengatakan bidah terbahagi kepada dua hasanah dan saiyiah dan Imam Nawawi mengatakan bidah terbahagi lima. Pandangan mereka semua ini bukan pandangan kosong semata-mata nafsu. Tetapi berdasarkan dalil dan hujah tertentu.Jelasnya, kedua-dua pihak masing-masing ada pandangan beserta hujah yang dikemukakan. Oleh itu, ingin saya menyatakan bahawa dalam masalah ini, tidak seharusnya kita bertelagah kerana jelas kepada kita bahawa ia adalah masalah khilafiah atau perselisihan pandangan dalam Islam. Mereka mempunyai hujah masing-masing dan mereka semua telah masyhur di kalangan kita tentang keilmuannya. Oleh yang demikian, bukanlah tugas dan peranan kita pada hari ini membahas dan memperbesarkan isu persilihan pandangan ini. Kerana dalam perkara ini, sampai bila pun kita tidak akan menemui jalan penyelesaian. Sepatutnya kita harus lebih menumpukan persoalan utama dan pokok dalam agama. Persoalan Khilafah dan Daulah Islamiah, persoalan murtad, persoalan penghinaan baginda Nabi s.a.w dan banayak lagi persoalan pokok yang harus diperbincang dan dibahaskan. Sidang pembaca sekalian, sedar atau tidak sebenarnya musuh Islam sedang bertepuk tangan melihat kita mempertikai dan membahas perkara yang tidak kunjung noktah. Mereka bersuka ria dan hidup senang lenang dan terus dalam keseronokan merampas, memusnah dan menghancurpunah umat Islam. Darah saudara kita di Palestin hari ini seolah telah halal. Di manakah peranan kita?Untuk akhirnya; ingatlah pesanan Baginda Nabi s.a.w kepada kita dalam satu hadis:Daripada Abdu bin Hamid dan Ibnu Majah daripada Anas: "Sesungguhnya umatku tidak akan berhimpun di dalam kesesatan. Maka, apabila kamu melihat berlaku perselisihan, hendaklah kamu duduk berada di kalangan mereka yang ramai." (H.lah Ibnu Majah pada bab al-Sawadul A'zham dalam bab Fitan).Wallahu A'lam

No comments: