Thursday, June 01, 2006

Menteri Belia, Khairy, TV3 Dan Nilai Patriotisme

Oleh Ab Jalil Backer | jalil74@myjaring.net

Apa yang berlaku pada 28 Mei 2006 akan meninggalkan satu kesan hitam dalam sejarah bola sepak dan sukan negara keseluruhannya. Daripada puluhan ribu penyokong yang mengejek anak-anak muda negara berusia 19 tahun yang menyarung jersi negara sehinggalah kepada Menteri Belia dan Sukan yang memilih untuk memakai baju biru (warna pasukan myteam), semuanya tampak cacat, sumbang dan mengelirukan.

Mungkin sebahagian orang Malaysia sudah hilang akal budi, jati diri dan patriotisme.

Apa salah anak muda berusia sekitar 19 tahun sehinggakan diejek sebegitu rupa bila menentang pasukan yang lebih matang seperti Myteam? Apa dosa anak-anak muda yang menyarung jersi kuning kebanggaan negara sehingga Menteri Belia dan Sukan pun tidak sanggup menggunakan warna rasmi pasukan negara yang beliau sendiri ketengahkan sebelum ini?

Sepanjang dua tahun ini, berapa kali kita dapat menonton siaran langsung mahupun rakaman membabitkan skuad negara? Peminat pernah mengeluh dan kecewa bila perlawanan-perlawanan penting Malaysia di luar negara bukan sahaja tidak disiarkan secara langsung malah liputan pun jarang diikuti dengan tayangan perlawanan.

Milik menantu PM

Anehnya, satu perlawanan persahabatan pasukan negara membabitkan sebuah pasukan amatur milik menantu Perdana Menteri bukan sahaja disiarkan secara langsung malah diberi publisiti lebih meluas berbanding liputan Liga Malaysia sendiri.

Sesiapa yang menyaksikan perlawanan tersebut di rumah akan melihat bagaimana anak-anak muda Malaysia yang masih keletihan kerana baru pulang dari perlawanan persahabatan di Eropah turun bermain untuk memenuhi jadual yang sedia ada.

Mereka menguasai perlawanan, bermain dengan sistematik walaupun keletihan tetapi diejek oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang hadir di stadium pada malam tersebut.

Yang hadir mungkin tidak dapat melihat keseluruhan perlawanan secara jelas berbanding di TV. Di TV jelas kelihatan Myteam bukanlah tandingan skuad bawah 20 tahun negara, apatah lagi jika mahu mencabar skuad negara sebenar.

Soalnya ini satu perlawanan persahabatan yang membabitkan pasukan negara dengan pasukan menantu Perdana Menteri. Mengapa harus diejek mana-mana pasukan?

Mengapakah Khairy Jamaludin sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dan Ahli Bebas Majlis Kerja FAM hanya terlonjak, terkinja-kinja dan berlari apabila Myteam menjaringkan gol tetapi mendiamkan diri bila pasukan Malaysia menjaringkan gol?

Apakah hanya myTeam yang mendapat tempat di hati Khairy? Jika demikian layakkah beliau menduduki Majlis Kerja FAM? Selebihnya layakkah beliau menjadi Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia jika mementingkan perniagaan berbanding negara?

Hakikatnya, Myteam hanya mampu seri 0-0 dengan pasukan Academy Manchester United, tetapi pasukan bawah 20 negara membelasah pasukan yang sama 4-1. Myteam juga dibelasah oleh Kedah, Melaka dan Johor.

Sedang pasukan bawah 20 Malaysia mengalahkan Salford FA academy 3-0, mengalahkan Stoke City academy 2-0. Selain itu dalam 6 perlawanan di Eropah sepanjang tiga minggu lalu menyaksikan mereka menumpaskan pasukan bawah 20 kelab utama Slovakia, Spartak Trnava, 3-0, tumpas 3-4 kepada pasukan divisyen 1 Slovakia, Zapado Slovensky FC, dan tewas 0-4 kepada pasukan bawah 21 Slovakia.

Sikap kurang ajar Khairy

Setelah begitu banyak perlawanan dan jauh perjalanan yang diharungi selama tiga minggu lalu adakah kita berharap skuad negara bawah 20 ini mempamerkan satu permainan yang cukup bermutu pada malam 28 Mei?

Hakikat yang lebih mendalam ialah MYteam yang kononnya dipilih melalui satu saringan yang ketat dan membabitkan 17 ribu peserta dan matang dari segi pemikiran gagal menyaingi pasukan anak muda yang rata-rata berusia 19 tahun.

Mengapa tiada siapa yang mempersoalkan sikap kurang ajar Khairy Jamaludin sehingga memaksa FAM memanggil kembali 3 pemain skuad kebangsaan yang berlatih di Singapura untuk turut sama dalam program ini?

Jika skuad budak-budak bawah 20 pun Myteam tidak mampu tewaskan, apa relevannya mereka mendesak untuk menentang skuad senior?

Namun episod lebih malang ialah sikap TV3 yang terlebih sudu dari kuah. Ulasan hari ini yang mempersoalkan kemampuan pasukan bawah 20 negara berdasarkan permainan semalam semata jelas mencerminkan sikap sebenar stesen TV yang diketuai oleh bekas Setiausaha Akhbar Pak Lah ini.

Ini pasukan negara bawah 20 tahun yang layak secara merit ke Pusingan Akhir Piala Asia Bawah 20 Tahun yang akan berlangsung di India hujung tahun ini. Apakah ini bukan bukti kemampuan mereka?

Tapi TV3 bukan sahaja menjadi tidak rasional malah meruntuhkan moral para pemain negara yang berjuang bersungguh-sungguh mengambalikan maruah bola sepak negara. Apakah bagi TV3 perlawanan menentang Myteam lebih penting daripada prestasi pasukan bawah 20 ini yang layak ke pusingan akhir Piala Asia?

Sampai bila kumpulan Media Prima dijadikan alat kepada Khairy Jamaludin untuk memusnahkan musuh politik beliau dan juga digunakan sebagai pentas mempopularkan diri sehingga mengorbankan agenda negara yang lebih besar?

Apakah perasaan anak-anak muda yang menyarung jersi negara bila mereka dicemuh dan dihina oleh rakyat tanah air sendiri? Apakah erti perjuangan bagi mereka Jika Menteri Belia dan Sukan pun memilih warna biru berbanding kuning - warna rasmi skuad negara?

Apa yang tinggal dalam episod ini hanyalah satu titik hitam yang tidak mungkin terpadam buat beberapa lama hanya kerana dua orang manusia ingin membuat duit dan mencari populariti - Khairy Jamaluddin dan Jason Lo. - www.kmu.net.my