Monday, May 08, 2006

Dari BKPJM groups

Assalamualaikum wbt. Saya cukup tidak berpuas hati dengan tohmahan, hinaan dan tuduhan yang dilempar oleh Dr Asri terhadap Al-banjari yang sebenarnya beliau ingin melontarkan tuduhan dan tohmahan tersebut kepada Sheikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki dengan mengatakan Hadith Musalsal Musafahah yang diriwayatkan oleh Sheikh adalah palsu lagi dhaif dan tidak boleh dipercayai. Lagi beliau melemparkan tuduhan dengan mengatakan Sheikh meriwayatkan Hadith Musalsal tersebut dengan riwayat bersambung kepada Rasulullah S.A.W ‘sesiapa yang bersalaman denganKu dan bersalaman dengan orang yang telah bersalaman denganKu hinggalah ke hari kiamat dia akan masuk ke dalam syurga’(Mafhum Hadith).

Seandainya kita mengkaji dari sudut riwayat atau matan hadith tersebut sememangnya tidak dapat dikenal pasti martabat Hadith Musalsal samada sahih atau sebaliknya ke atas Hadith Musalsal Musafahah ini secara khususnya dan yang lainnya secara umum bersambung terus kepada Rasulullah S.A.W. Manakala dari sudut perawi sanad dan matan juga menurut beberapa muhaddith mengenal pasti terdapat perawi yang kurang thiqah jika dilihat dari kaca jarah dan ta’dil. Apapun saya bukanlah orang yang khusus dalam membincangkan permasalahan Mustalahul Hadith ini. Berdasarkan firman Allah S.W.T didalam Al-Quran

فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون....(الأية)

Akan tetapi saya kurang enak seandainya ada dikalangan golongan yang Arif dalam bidang ini melontarkan tuduhan yang tidak berasas berdasarkan ilmu yang beliau ada hanya kerana beliau dan pengikut-pengikutnya dipatahkan hujjah atau dimalukan(kemugkinan) oleh Sheikh Nuruddin berkisar dengan Wahabi ketika seminar yang telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur setelah saya bertanya pada Sheikh Nuruddin untuk mendapatkan kepastian daripada beliau mengenai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Dr Asri terhadap Sheikh semata-mata kerana sebab yang sedemikian. -ZuLmArWa-

Apa yang dapat saya sampaikan daripada perbincangan saya bersama Sheikh Nuruddin melalui SMS pagi tadi (24April2006) sheikh memberitahu bahawasanya memang benar hadith Musalsal Musafahah (bersalaman) seperti riwayat yang di atas terdapat jarah dari segi perawi Hadith yang kebanyakan riwayatnya akan berakhir dengan Muammar dan Muammar adalah seorang diantara pembohong seperti yang disebut oleh Rasulullah S.A.W(sila rujuk dalam kitab Hadith Musalsal oleh Sheikh Nuruddin Al Banjari atau kitab-kitab Hadith Musalsal yang lainnya)

Namun begitu jika dilihat dari segi riwayat musalsal yang diriwayatkan oleh beberapa perawi yang kebanyakannya Thiqah dan ahli dalam bidang ini maka kita boleh mengambilnya sebagai Tabarruk (mengambil berkat dari perawi-perawi yang alim dan tinggi ilmunya) berbanding dengan kita yang belum lagi mencapai tahap dalam mentakwil hadith apatah lagi menjadi Muhaddith yang sememangnya memerlukan tapisan yang pelbagai untuk mencapai ke tahap itu. Asri juga bukanlah ahli Muhaddith dan beliau juga manusia biasa yang banyak kesilapannya antaranya cuba untuk memecahkan umat Islam di Malaysia khususnya dengan fahaman wahabi yang beliau bawa.

Selain itu, semoga dengan sanad yang bersambung dengan mana-mana hadith Musalsal yang mana perawinya Thiqah kita berharap agar ada di sana berkat dan bersambung terus kepada Rasulullah S.A.W kerana kita juga tidak mengetahui akan hubungan dan silsilah ke atas dalam Hadith Musalsal tersebut yang mana kemungkinan adalah af’al yang Nabi S.A.W memang lakukan. Sekaligus kita akan mendapat syafaatNya. Jika sebaliknya, bukanlah ia menjadi satu dosa yang tidak dimaafkan.

Untuk akhirnya, saya yang masih menuntut Ilmu Allah berharap agar penolakan saya terhadap tuduhan tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan idea dan perbincangan Ilmiah yang lebih terperinci daripada sahabat-sahabat lain yang mungkin lebih mendalami bidang Mustalah Hadith. Janganlah kita bertelagah dan berkelahi mengenai sesuatu perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah semata-mata untuk menuntut bela atas apa yang telah dikenakan ke atas kita. akan tetapi ambillah ibrah dan pengajaran disebalik hujjah dan nasihat yang disampaikan. Seseorang yang berilmu agama yang mengakui akan kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan sewajarnya tiada perasaan untyk membalas dendam akan tetapi membuat perubahan dan memperbaiki akan segala teguran yang dilemparkan sebagaimana yang ditatbiqkan oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin R.A yang mana mereka lebih tinggi ilmu dan martabatnya berbanding dengan kita.